Saturday, November 24, 2007

Janganlah engkau cemburu melihat orang kaya kerana mereka senantiasa disibukkan oleh urusan harta mereka
Janganlah engkau cemburu melihat wanita cantik kerana mereka seringkali diburu lelaki-lelaki yang suka akan kecantikan
Janganlah engkau cemburu melihat orang yang berpangkat kerana mereka seringkali dipuji, disanjung dan mendapat tempat yang baik

* * * * * * * * * * * * * * * * *
Namun, engkau fikirkanlah bagaimana sukarnya mereka memesongkan hati mereka daripada dilalaikan oleh nikmat dunia dan menempis segala tipu daya dunia yang begitu kuat menguji iman mereka
* * * * * * * * * * * * * * * * *

Petikan daripada artikel Dr Juanda Jaya (5 Nov 2007)
Al-Qarni pernah menulis mengenai perbezaan antara si kaya dan miskin dengan menyatakan: "Orang kaya yang pendiam dipuji manusia sebagai orang yang warak dan tawaduk sedangkan orang miskin yang pendiam dikata bodoh dan lembap. Orang kaya yang banyak bercakap digelar cerdik dan pintar, manakala orang miskin yang banyak cakap dikata sebagai kuat berangan, cakap tak serupa bikin. Orang kaya yang banyak memberi digelar sebagai dermawan, orang miskin yang memberi pula dikata tak sedar diri hendak menunjuk-nunjuk. Orang kaya yang bercakap lembut dan mesra dipuji sebagai berjiwa rakyat. Orang miskin yang mesra pergaulannya disangka suka mengambil kesempatan ke atas orang lain." Jelas, kemenangan sentiasa berada di pihak si kaya.
Allah sudah menggariskan takdir setiap manusia ketika dia masih dalam perut ibunya. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang iman dan yang miskin pula kuat imannya ataupun sebaliknya.
Pernah suatu ketika, penghulu orang miskin mengadu kepada Baginda Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, orang kaya sudah memborong semua pahala dan tingkat yang tertinggi serta kesenangan yang abadi. Rasulullah SAW bertanya: Mengapa demikian? Mereka berkata: Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sedangkan kami tidak mampu. Rasulullah SAW bersabda: Sukakah kamu aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat mengejar mereka, dan tidak ada seorang yang lebih utama daripada kamu melainkan yang berbuat seperti perbuatanmu? Mereka menjawab: Baiklah, wahai Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda: Bertasbih, bertakbir dan bertahmid selepas sembahyang 33 kali. Kemudian mereka kembali lagi dan berkata: Wahai Rasulullah, saudara kami orang kaya mendengar perbuatan kami, maka mereka melakukannya juga. Rasulullah bersabda: Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Hadis itu menegaskan betapa beruntungnya menjadi orang kaya yang beriman berbanding si miskin yang jauh ketinggalan dalam berbuat kebajikan. Namun tidak dinafikan ujian harta amat berat berbanding ujian kesusahan, kerana harta ramai orang terpedaya dan menggadai iman. Memang sepatutnya si kaya layak mendapatkan kelebihan dibandingkan yang miskin jika mereka beriman kerana harta itu bagaikan rantai besi di lehernya yang mengikat dengan keras dan terkadang menyakitkan. Kaya dan miskin semua itu kurniaan Allah, yang menyelamatkan hanya amal soleh dan hati yang suci seraya tunduk kepada-Nya.

0 comments: