Wednesday, December 5, 2007

Amat mendalam maksudnya ungkapan al-Biruni, (m.d. 440H./1048M.) "Sesungguhnya yang kulakukan ini ialah apa yang wajib bagi setiap insan untuk dilaksanakan dalam kerjayanya, iaitu menerima pencapaian masyarakat terdahulu dengan penuh kesyukuran dan memperbaiki kesilapan yang ditemui tanpa rasa silu serta mengabadikan apa yang kelihatan berharga sebagai kenang-kenangan bagi orang yang datang selepasnya dan mereka yang terkemudian." Kata-kata yang dilafazkan oleh tokoh kelahiran Birun, ibu negeri Khawarizm (Turkestan) ini jelas dibuktikannya melalui usaha bagi meneladan jejak orang yang terdahulu, bukan sahaja dengan menguasai ilmu-ilmu dari Eropah bahkan juga dari Timur, terutamanya dari India. Itulah tanda kesyukuran dan penghargaan yang diberikannya terhadap kegigihan masyarakat sebelumnya. Malah, selain usahanya yang hebat itu, al-Biruni juga membuktikan kata-katanya melalui sumbangan besarnya yang dikagumi hingga hari ini dalam pelbagai bidang seperti falsafah, matematik, falak dan geometri.

0 comments: