Sunday, December 9, 2007

Antara Berpakaian Hampir Bogel dan Menutup Tubuh

BismiLLAH walhamduliLLAH..

Terlintas mahu menulis di sini lagi. Usai menonton Buletin Utama paparan berita tentang sukan olahraga yang berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Ulangtahun ke-80 Raja Thai, di Korat terimbau akan kenangan ketika di sekolah menengah dan di universiti. Prasyarat pakaian sukan di Malaysia begitu jengkel apabila peserta wanita dikehendaki memakai pakaian yang hampir membogelkan tubuh. 1) singlet tanpa lengan dan 2) seluar pendek yang hanya menutupi paha. Peraturannya sama seperti lelaki. Malah tidak mengapa jika peserta wanita hanya memakai pakain seumpama coli dan seluar dalam. Nampak mengaibkan tapi di'halal'kan untuk acara sukan atas alasan mengurangkan rintangan ke atas angin, jadi peserta akan lebih laju berlari. Kajian tentang aerofoil ini memang mahu membogelkan wanita sebenarnya.

Ketika bergelar undergraduate student saya aktif berolahraga, memandangkan untuk Temasya Olahraga Tahunan (TOT) tidak mengapa jika peserta hendak mengenakan seluar panjang serta t-shirt berlengan panjang hatta tudung. Tiada halangan untuk anda memilih kriteria pakaian yang ingin anda pakai kerana pihak universiti tidak akan menghalang anda berpakaian begitu. Jadi, selamat untuk pelajar wanita yang ingin menyertai sukan olahraga. Alhamdulillah dengan pakaian yang sebegitu, dengan khudrat yang ada walaupun tidak pernah bersungguh-sungguh ingin menjadi terbaik, sepanjang sesi pengajian 3 tahun sebagai undergraduate student selama 2 sesi saya mengondol anugerah olahragawati desasiswa penginapan saya di universiti. Anugerah olahragawati peringkat universiti sememangnya bukan target utama saya memandangkan saya tidak pernah menjalankan latihan intensif untuk meraih kecemerlangan sehingga ke peringkat itu. Sepanjang tempoh 3 tahun pengjian saya, agak menarik juga kemenangan yang pernah saya perolehi. Pingat perak untuk acara 400m lari berhalangan (2003/2004), pingat gangsa untuk acara 4x400m (2003/2004) dan pingat emas untuk acara 400m berhalangan (2004/2005).


Paling bermakna ketika saya mendapat pingat emas dalam acara 400m lari berhalangan. Apabila nama saya diumumkan memecah stadium seperti biasa rakan-rakan yang tidak begitu mengenali saya akan tergamam. Bagaimana seorang gadis yang berpewatakan lemah lembut, bersopan santun, kerap berbaju kurung malah boleh dikatakan paling lemah lembut dan bersopan santun di Pusat Pengajian boleh menggondol pingat emas untuk acara yang paling tidak berani disertai oleh ramai pelajar wanita. Alasannya lari jarak jauh dan dalam masa yang sama kena melompat merentasi halangan tanpa menjatuhkan pagar berkenaan. Sehingga boleh mengalahkan atlit vasiti untuk acara tersebut. Pada saya, berpewatakan lemah lembut serta bersopan santun tidak semestinya itu menunjukkan wanita tidak punyai keupayaan dan kekuatan. Pada saya, adalah lebih baik bagi wanita yang berpewatakan lemah lembut menguasai ilmu mempertahankan diri seperti teakwando atau silat. Bunyinya saya yakin pelik, kerana sukar untuk dijumpai seorang wanita yang berpewatakan lemah lembut serta bersopan santun bergiat aktif dalam sukan dan olahraga. Kebiasaannya wanita yang giat dalam sukan dan olahraga ialah yang berpewatakan kasar dan keras.

Dengan kemenangan itu, saya tidak melangsungkan kejayaan untuk mewakili universiti walaupun pernah diajak rakan-rakan. Alasannya ialah, saya tidak setuju dengan etika pemakaian untuk acara olahraga antara Universiti-universiti di Malaysia, iaitu singlet dan berseluar di paras paha. Kebiasaannya, bagi pelajar yang mewakili universiti untuk acara tertentu akan dianugerahkan dengan Anugerah Warna. Anugerah warna ini biasanya memberikan bonus kepada para pelajar untuk mendapat pekerjaan dan tajaan apabila bergraduasi nanti. Nampak menarik ganjarannya, namun untuk menggadaikan maruah diri dengan berpakaian seperti itu adalah tidak relevan sama sekali. Anugerah dunia tiada apa-apa makna jika di akhirat kelak kena menjawap kenapa kamu membogelkan diri hanya untuk sekeping kertas yang boleh musnah.

Sayang juga kerana etika pemakaian untuk wanita bersukan di Malaysia masih lagi di bawah fikiran jahiliah. Sedangkan sibuk-sibuk pemimpin kita melaungkan ini adalah negara Islam. Namun dalam aspek bersukan pun masih belum Islamik. Teringat juga saya dengan atlit Iran jika tak salah, yang memenangi pingat emas untuk acara balapan 200m di sukan Olimpik. sedang yang pakai separuh bogel pun tak mampu menyainginya. Nah! Renungkanlah, adakah berseluar panjang, berbaju lengan panjang serta bertudung masih tidak mampu mencipta kecemerlangan? Tepuk dada, tanyalah iman....



Sekian saja untuk kali ini...............

2 comments:

Anonymous said...

salam. pelari pecut itu bernama ruqaya al-ghasara. Berasal dari bahrain. Dengan jemputan khas kerajaan negeri kelantan,beliau menghadiri festival sukan Nisa' malaysia di kelantan darul naim ( Nisa Games),namun bila kehadirannya diketahui kerajaan,barulah nak jemput ke Kuala Lumpur.. Meraih pingat emas dalam acara 200 meter,dengan catatan masa 23.19s. Antara kata2nya menyebut "Dengan mengenakan pakaian lengkap wanita Islam itu telah mendorong saya berlari lebih pantas,Ia bukan satu halangan untuk saya berlari pantas malah ia banyak mendorong saya membuktikan bahawa wanita Muslim seperti saya juga boleh menang dengan berpakaian seperti ini,” katanya.

p/s Pakaian atlet Wanita (Islam) Malaysia dah mcm atlet USA, Eropah dan yg sewaktu dgn nya

~* Raudhotuz Zahra *~ said...

salam..

itulah dasar sukan kita kat Malaysia ni.Alhamdulillah, sebelum kemenangan Ruqaya pun hal itu pernah berlaku di Universiti tempat saya belajar. Namun itulah, bila ke peringkat negara, org Islam pun tak mahu menentang sekeras-kerasnya hak mereka untuk berpakaian lengkap.saya pula memang tak berminat nak mewakili universiti memandangkan bidang saya terlalu singkat dan pengajian begitu padat. Maka saya kena fokus kpd pengajian sebab mahu bergraduasi dlm masa yg disarankan (terpendek).