BismiLLAHirrahmanirrahim....
Demi Allah yang maha pengasih lagi maha mengasihani.. AlhamduliLLAH, segala puji hanya bagi Allah pemilik sekalian alam
* * * * * * * * * *

Saya tertarik dengan satu ungkapan, "JADIKANLAH DIRIMU SEBAGAI PUNCA INSAN LAIN MENERIMA HIDAYAH". SubhanALLAH, maha suci Allah yang menjadikan segala sesuatu. Betapa indahnya ungkapan ini kepada saya. Penuh pengertian. Pada saya, insan yang membuka jalan dan menggerakkan hati manusia ke arah kebaikan, umpama wangian yang mengharum. Ke mana ia pergi pasti akan terkena bauan yang begitu harum, sehinggakan semua yang tertarik dan terhidu bauan harumannya akan tertarik untuk mengikutnya.
Ia juga umpama sebutir gula yang senantiasa dihurungi semut kerana manisnya. Mana diletak pasti ada semut yang menghidu bau manisnya.
* * * * * * * * * *
Teringat saya dengan segala kisah yang berlaku sepanjang hidup saya. Fitrahnya lelaki akan tertarik kepada wanita. Dek kerana kerasnya hati, saya tak pernah membenarkan sesiapa dan menganggap mana-mana lelaki sebagai seorang yang cukup istimewa dalam hidup saya. Bunyinya agak mengecewakan semua orang bukan? Bukan saya tidak mahu, tetapi apalah maknanya satu perhubungan tanpa satu ikatan yang sah. Apa makna nanar dengan cinta, berbangga dengan kekasih hati yang belum pasti itu adalah jodoh kita? Kita tak tahu peraturan kuasa Allah. Apakah kekasih hati yang kita sanjungi itu bakal menjadi teman kita di syurga sana? Belum pasti lagi. Pada saya, adalah lebih indah bagi seorang wanita, membiarkan dirimu berkerdip bak bintang bergemerlapan di langit malam. Indah, walau samar-samar kelihatan. Jauh meninggi di langit malam, namun kerdipnya cukup indah kelihatan. Jadi penunjuk jalan buat musafir di jalanan, baik di darat jua lautan. Berkelana mencari pengertian hidup, mendamba kasih Ilahi dan redho Ilahi.
Demi Allah, saya mahu memelihara hati saya, perasaan saya. Saya tak mahu menyerahkan segalanya kepada lelaki yang belum pasti dijanjikan untuk saya. Jangankan mengharapkan kemesraan memutik di hati saya kepada lelaki. Segala yang pernah berlaku dalam hidup saya, adalah dengan kuasa Allah, dan segalanya mengajar untuk saya terus mencari dan menanti, seseorang yang terbaik agamanya untuk saya. Ya Allah, peliharalah dirinya, agar tidak terpedaya dengan keindahan dunia yang cukup mempersonakan. Jika seseorang itu terpesona kerana kecantikan, tidak ada lain melainkan kehodohan yang bakal dia perolehi, jika seseorang itu tertarik dengan harta tidak ada lain melainkan kepapaan, dan jika seseorang itu tertarik dengan kedudukan tiada lain melainkan kehinaan baginya. Semoga agama itu bakal mencukupkan segalanya.
Teringat saya pada satu hadith nabi Muhammad SAW yang membawa maksud, Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah suka kepada pemerintah apabila mereka ini banyak bercampur gaul dengan Ulama tetapi Allah mengutuk Ulama’ apabila mereka itu bercampur gaul dengan pemerintah, kerana sesungguhnya apabila Ulama itu bercampur gaul dengan pemerintah, mereka menginginkan dunia. Manakala pemerintah apabila bercampur gaul dengan Ulama’, mereka menginginkan Akhirat“.
Tertarik dengan peribadi Khadijah, seorang wanita yang memiliki segala kelebihan dunia; jelitawan, hartawan juga bangsawan yang melamar Rasulullah yang miskin namun kaya dengan budi pekerti yang mulia penuh keindahan akhlaQ. Sesungguhnya Khadijahlah contoh wanita yang menginginkan akhirat melebihi dunia. Sesungguhnya beliau tergolong dalam golongan yang disukai Allah berdasarkan bandingan hadith di atas.
Berbanding dengan kebanyakan lelaki yang pernah saya temui, mereka semua tergolong dalam golongan yang gilakan harta dunia. Mahu berkahwin namun keutamaannya dinilai melalui harta. Alasan tak mahu berkahwin kerana belum bekerjaya, belum stabil kewangan, belum memiliki rumah jua kenderaan. Nah! Contohnya nyata pada saya, nyata mereka semua nanar dengan kekayaan dunia melebihi daripada mahu menggapai redho Allah. Semoga mereka semua sedar dengan kesilapan mereka. Sesungguhnya Allah telah memperlihatkan pada saya, bahawa mereka bukanlah sebaik-baik manusia yang baik agamanya untuk saya.

0 comments:
Post a Comment