Thursday, April 24, 2008

Berdoalah..

BismiLLAHIrrahmanirrahim...
Alhamdulillah...


Segala yang indah itu pastinya datang dari ALLAH, maka setiap yang berlaku pastinya hanya untuk menguji keimanan. Boleh jadi setiap yang baik yang pernah dirasai, itu bukanlah yang terbaik pada hitungan ALLAH terhadap hambanya. Selagi mana segala-galanya kerana ALLAH, tidak perlu ada apa-apa yang perlu diragukan. Usahkan takut untuk melepaskan segala-gala yang indah andai kemuncak kemanisan iman yang ingin dikecapi. Dunia memang penuh dengan keindahan dan keenakkan, namun banyak daripada isinya hanyalah keindahan yang tidak membawa apa-apa erti dan makna untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat sana.

Ramai manusia mudah terpana dan tertipu dengan keindahan serta kecantikan. Sebagai contoh; wanita. Benar wanita itu adalah ciptaan yang terindah di dunia ini. Namun, berapa ramai lelaki yang sanggup memperbodohkan diri hanya kerana menjadi pemuja kepada kecantikan seorang wanita. Dalam keadaan seumpama itu, ternyata sukar untuk dicari lelaki yang benar-benar teguh imannya dengan tidak mudah goyah apabila berhadapan dengan wanita. Jika pada wanita yang menjaga kehormatan dirinya pun tidak mampu dikekang nafsu, apatah lagi apabila berhadapan dengan wanita yang tidak menjaga kehormatan diri. Di sini ada keraguan juga pada kata-kata saya, pada wanita yang menjaga kehormatan diri.

Apakah yang dimaksudkan dengan wanita yang menjaga kehormatan diri?

Baru-baru ini saya ada membeli satu buku Kisah Para Nabi terjemahan daripada penulisan ibnu Kathir. Tertarik dengan kisah Siti Sarah, isteri kepada Nabi Ibrahim as ketika beliau diminta untuk bertemu dengan seorang Raja pada zaman itu, Raja Namrud tak salah saya (atau mungkin juga Raja yang lain). Menurut Ibnu Kathir, Siti sarah merupakan wanita yang tercantik di atas muka bumi selepas dari terciptanya Hawa. Pada masa itu, nabi Ibrahim berkata kepada Siti Sarah bahawa hanya mereka berdua saja yang beriman kepada Allah, sedang yang lainnya tidak (ayat ini merujuk kepada kaumnya kerana semasa hayat Nabi Ibrahim, terdapat juga nabi yang lain tetapi bukan Rasul, wallahu'alam). Dikisahkan, sebelum Siti Sarah datang mengadap Raja, beliau terlebih dahulu bersolat dan memohon doa agar Allah menjaga kehormatan dirinya, menjaga kemaluannya agar terpelihara daripada manusia yang zalim dan hanya diperuntukkan untuk suaminya.

Kisah ini cukup menarik pada saya kerana dalam konteks kehidupan hari ini, sebagai manusia dan sebagai wanita, pastinya kita turut teruji. Tidak semua wanita yang dilahirkan itu ditakdirkan hidupnya akan ditempatkan di tempat yang tidak terlihat oleh sesiapa saja. Bagi meneruskan kehidupan, pastinya kita kena berusaha untuk mencari rezeki serta mencukupkan keperluan diri tanpa menyusahkan orang lain. Benar mencari nafkah itu adalah tugas dan tanggungjawab seorang lelaki terhadap wanita, namun tidak semua daripada kita memiliki lelaki yang mempunyai tanggungjawab ke atas diri kita. Doa Siti Sarah, benar-benar mengharukan hati saya, betapa seorang wanita yang beriman kepada Allah dan telah Allah anugerahkan kecantikan pada dirinya, berusaha untuk menjaga kehormatan dirinya apabila dikehendaki berhadapan dengan Raja yang zalim tanpa ditemani oleh seseorang yang dipercayai. Siti Sarah tidak menggunakan kecantikan yang ada untuk kenikmatan dunia yang sementara, sebalik sentiasa bermohon doa kepada Allah agar terus memelihara kehormatan dirinya. Inilah contoh, betapa indahnya akhlak isteri nabi Allah Ibrahim a.s.

Pada seseorang yang beriman kepada Allah pasti dia akan diuji dengan pelbagai ujian, hatta kecantikan fizikal itu juga ujian yang berat pada manusia namun berkat kesabaran dan juga doa dalam setiap solatnya, maka Allah memeliharanya.

MAKA, berdoalah..........
.
Kadang-kadang apabila terlihat paparan iklan di jalanan, serta dalam majalah fesyen semasa, ramai wanita memperdagangkan kecantikan diri. Acapkali terlintas di fikiran, alangkah indahnya jika kecantikan wanita ini dipergunakan sebagai pendorong semangat kepada para lelaki agar mereka kuat untuk berjuang, menggilap kembali maruah agama ALLAH yang kian tercalar. Namun kita tidak tahu apa masalah mereka sehingga mereka sanggup menjerumuskan diri kepada perkara yang tidak elok.
.
Tidak kurang juga dalam dunia ini, betapa ramai wanita ingin kelihatan cantik. Pada mereka, hidup cukup bahagia apabila dipuja sebagai wanita yang cantik, maka tidak hairanlah berapa ramai wanita yang sanggup berbelanja besar menghabiskan wang ringgit semata-mata untuk nampak cantik. Padahal semua itu adalah membazir, untuk kelihatan cantik sebenarnya tidak perlu pada solekan tebal, alat mekap yang mahal atau berjenama, suntikan BOTOX atau apa-apa. Cukup sekadar menjaga kebersihan diri, menjaga pemakanan, juga pada keindahan akhlak serta keimanan yang teguh. Syariat Allah serta sunnah rasulullah sudah cukup indah untuk diikut. Mungkin ia tak semudah apa yang diperkatakan. Hatta diri saya juga masih menebal perasaan malu untuk memperlihatkan betapa indahnya syariat Islam itu, bukan kerana apa, tetapi malu apabila diri menjadi perhatian.

0 comments: