BismiLLAHirrahmanirrahim...
.
Saban hari, kita disajikan dengan pelbagai kisah yang menyayat hati, seumpama kisah pencabulan kehormatan wanita. Biasanya mangsa adalah mereka yang sering bersendirian apabila berada di luar rumah. Tidak kurang juga wanita yang selalu pulang malam dari tempat kerja atau berurusan di luar sendirian. Pastinya menjadi kerisauan kepada para ibu bapa, suami atau saudara mara yang mempunyai anak, isteri, kakak atau adik yang selalu dalam suasana seperti ini.
.
Namun, saya punyai persepsi tersendiri untuk berhadapan dengan situasi sebegini kerana pada saya, hendak ditakutkan pada apa. Selagi mana kita merasakan diri bertuhan, takut biarlah hanya pada Allah. Yakinlah bahawa Allah senantiasa bersama hamba-hambanya yang selalu mengingatinya dalam tiap ketika.
.
Jika takut dalam keadaan sendirian, berzikirlah.
.
Benar musibah datang tanpa kita jangka. Cuma pada saya, sekiranya kita sebagai hamba Allah yang taat, pastinya kita mahu mati dalam keadaan baik (husnul khotimah) حسـن الخاتمة. Allah itu maha mendengar, lagi maha mengetahui. Maka, ingatlah Dia dalam apa jua keadaan, insyaAllah.
.
Tertarik saya dengan kisah Siti Sarah, isteri nabi Ibrahim a.s ketika mana beliau hendak dihadapkan kepada seorang raja. Akhirnya beliau berjaya meloloskan diri. Menurut satu riwayat yang ditulis oleh Ibnu Kathir, Siti Sarah pernah berdoa ketika mana beliau dibawa oleh orang suruhan raja untuk membawanya ke Istana. Kisah ini, saya pernah menulis dalam post yang terdahulu, di bawah tajuk BERDOALAH. Sebenarnya saya berminat dengan doa Siti Sarah dalam solatnya ketika beliau begitu takut (jika tidak salah) untuk mengadap raja berkenaan. Beginilah doanya.
.
"Ya Allah! Engkau tahu bahawa aku beriman kepada-Mu dan beriman kepada rasul-Mu, maka peliharalah kemaluanku kecuali pada suamiku sendiri. Janganlah engkau serahkan diriku di bawah kekuasaan orang kafir"
.
Kisahnya agak panjang, dan dipendekkan cerita, Siti Sarah 3 kali berjaya melepaskan diri dari pengawal-pengawal Istana dan akhirnya (semasa dikawal oleh pengawal istana yang ke-3) beliau dihadiahkan seorang pembantu yang bernama Siti Hajar untuk menemaninya pulang. Wallahu'alam..

0 comments:
Post a Comment