Friday, June 6, 2008

Solat

BismiLLAH...
Tertanya-tanya juga saya, kenapa ada orang pernah berkata bahawa orang yang tidak solat itu murtad. Maka hari ini fahamlah saya apabila saya membaca satu tulisan yang merujuk kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Madya Dr Mohd Yusoff Hussain,
"hanya mereka yang jahil saja mengatakan orang yang tidak solat itu murtad dan hukum menuduh seseorang itu murtad adalah fasik, kerana seseorang itu akan jatuh murtad apabila dia mengatakan solat itu tidak wajib didirikan"
Apa yang saya hendak katakan di sini adalah telahan akal saya tanpa membuat rujukan yang begitu mendalam. Pada saya, jika semua orang yang tidak solat itu tidak menafikan hukum solat itu adalah kewajipan, dan salah satu dari rukun Islam maka sedikit sajalah orang Islam dalam dunia ni. Saya yakin ramai yang tidak bersolat itu tidak menafikan bahawa meninggalkan solat itu berdosa besar. Tapi ramai yang buat endah tak endah walaupun dosanya amatlah berat untuk ditanggung di akhirat kelak. Na'uzubillah. Kata-kata saya ini bukanlah hendak memberi kelonggaran kepada mereka yang tidak solat tetapi sekadar mengemukakan pandangan bahawa jangan mudah-mudah menghukum manusia.
Solat itu bukanlah syariat yang boleh diabaikan begitu sahaja. Betapa besarnya perintah solat itu, kita boleh renungkan apabila Rasulullah sendiri yang menemui Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj untuk menerima perintah ini. Benarlah kata-kata Nabi Musa bahawa umat Muhammad ini berat untuk menunaikan solat yang 5 waktu itu sehari semalam. Melainkan kepada mereka yang benar-benar khusyuk. Padahal bukanlah menjadi kepayahan untuk memperuntukkan sedikit masa untuk bersolat.
Allah juga memberi kelonggaran untuk kita dalam mengerjakan solat. Sekalipun kita di medan perang, syariat tetap syariat dan tidak ada pengecualian ke atasnya. Maka dengan itu, ada cara-caranya. Biarpun terlantar sakit, solat tetap kena solat. Jika tidak mampu bergerak untuk mendapatkan air wuduk, bertayyamumlah.
Pada saat manusia akan dibangkitkan nanti, perkata utama yang akan dipersoalkan ialah solat. dan ketika saat Rasulullah nazak, baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum". Maknanya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu".

0 comments: