Thursday, July 17, 2008

Ruh Jihad : Sultan Salahuddin al-Ayyubi

.
Sultan Salahuddin al-Ayyubi merupakan tokoh mujahid yang tidak pernah berputus asa mendidik umat. Menurutnya bahawa perjuangan yang berasaskan kaum atau bangsa, sekali-kali tidak akan membuahkan hasil. Sebaliknya perjuangan yang berpaksikan agama Islam sahajalah yang menjamin kejayaan yang gemilang.
Buktinya, tentera-tentera Islam yang berjuang datang dari pelbagai negara seperti Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan dari berbagai tempat lain dan keturunan. Walaupun mereka berlainan bangsa dan etnik tetapi kekuatan roh jihad telah menyatukan mereka di atas jalan Allah SWT. Perjuangan mereka berhasil membebaskan Palestin.
Menurut penasihat kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Bahauddin bin Shaddad, beliau seorang panglima perang yang terkenal dengan keberanian yang luar biasa. Katanya beliau lebih banyak berada di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama isteri dan anak-anaknya. Kesungguhan, semangat dan ketahanan jihadnya, mampu mendorong beliau untuk turun sendiri ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama-sama perisiknya.
Beliau juga seorang yang sangat warak dalam beribadah, sehingga digambarkan seolah-olah seorang abid di waktu malam, dengan zikir dan munajatnya kepada Allah SWT. Siangnya seperti singa yang tangkas berjuang di medan pertempuran. Solat berjemaah dan puasa sunat adalah rutin harian yang tidak pernah ditinggalkan.
Selepas 6 tahun mengecap kejayaan mengembalikan Baitul Muqaddis di takhta keagungan Islam. Pada hari Rabu, awal subuh 27 Safar 589 Hijrah bersamaan 1193 Masihi, Sultan Salahuddin al-Ayyubi pulang ke rahmatullah pada usianya 57 tahun di Damsyik Syria, dalam keadaan penuh zuhud.
Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwarisi. Beliau dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Urusan penyelenggaraan jenazah ditanggung kosnya oleh keluarganya. Manakala kain kapannya diberikan oleh seorang menterinya. (Dari http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com/)
______________________
BismiLLAH..
.
Hari ini, realitinya bagaimana dengan keadaan pemimpin-pemimpin bagi negara yang didiami oleh majoriti orang beragama Islam? Usahkan Malaysia, Indonesia malah negara-negara Arab juga. Kita ada organisasi yang besar seperti OIC. Persoalannya, apakah fungsi OIC? Apakah sekadar gimik untuk menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin negara Islam boleh duduk semeja. Hakikatnya bertelagah sesama sendiri, tiada integrasi, tiada kekuatan jiwa malah kesatuan untuk menguatkan tembok pertahanan daulah Islamiah itu sendiri juga tiada. Lantas, kita (orang Islam) wujud di atas muka bumi bak buih-buih di laut yg terbentang luas. Padahal jika kita ada kesatuan, kita mampu menjadi ombak yang boleh merubah pantai hatta gelombang tsunami!
Sultan Salahuddin al-Ayyubi sebagai contoh, beliau bukanlah pemimpin dari keturunan Arab tapi beliaulah pemimpin yang mengembalikan hak muslim di bumi Palestin dan di tanah Arab (Mesir). Ruh jihad, perjuangan atas nama ALLAH, itulah kemenangan bagi beliau!
Biarpun beliau bukanlah lahir sebagai anak raja, namun ruh jihad yang ada dalam diri beliau sehingga menjulang Islam di persada dunia lantas diangkat sebagai pemimpin ummah.
Hebatnya beliau dalam lipatan sejarah bukanlah terkenal sebagai ulama yang menyelesaikan masalah hukum hakam, perbezaan mazhab atau mengkelas-kelaskan golongan agama seperti salafi atau wahabi, syiah dan sebagainya seperti kebanyakan ahli agama yang kita kenal sekarang ini. Biar pun begitu, akhirnya Salahuddin al-Ayyubi berjaya mengusir pengaruh syiah dalam Universiti al-Azhar dan merasmikan sebagai ahlus sunnah wal jamaah..
Di Malaysia pula, minggu ini kemelut isu fitnah. Kes penangkapan anwar, kes saman Raja Petra... acam-macam..

0 comments: