Indahnya wanita itu apabila maruah diri dijaga, pergaulan dipagari, sifat malu pengikat diri, seindah hiasan di dunia ini. Keayuannya itu, tidak terletak pada kecantikkan wajahnya. Kemanisannya, tidak terletak kepada kemanjaannya. Daya penariknya, bukan pada kemanisan bicaranya yang menggoncang iman para muslimim, dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu. Bukan dan tidak sama sekali, kepetahannya, bukan membicarakan perihal orang lain, tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama.
Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa yang indah bak permata yang menyeri alam. Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu serta pandai dari segala aspek. Hati menyatakan kecantikkan wanita hanya pada akhlaknya, itupun seandainya hati itu bersih untuk dinilai. Jarang terhimpun pada seorang wanita cantik rupa paras, tinggi keilmuan serta bijaksana, indah akhlak pekertinya, baik keturunannya, berharta dan terpelihara agamanya. Beruntunglah pada sesiapa yang memilikinya.
Namun, jangan dibangga dengan kecantikkan luaran, kerana satu hari nanti ianya akan lapuk ditelan zaman, tetapi kecantikkan dalaman dijagalah dan dipelihara, agar diri bersih dan sentiasa mendapat rahmat ilahi. Padanya duniawi yang dikuasai tidak dibanggakan, kerana padanya ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan dan berkuasa. Tidak pula dia berduka cita atas segala kekurangan diri, kerana padanya ada insan lain yang lebih malang.
Biarkan bisikan yang sentiasa mekar dalam sanubari seorang adalah kesedaran bahawa dia diciptakan dengan satu akal dan sembilan nafsu. Namun dia percaya bahawa itu bukanlah kelemahan seorang wanita. Padanya, akal yang satu jika dimanfaatkan sebaik yang termungkin, kekuatannya mampu menundukkan sembilan nafsu yang menjadi fitrah kejadiannya. Ingatan untuk dirinya, akhlak yang baik dan luhur pekerti itu ialah kecantikan yang bernilai. Disemai dalam perlakuannya berlembut bicara, bermanis tutur kata tetapi tegas pendirian mempertahankan kebenaran.
Martabat diri dapat ditinggikan dengan menguasai ilmu. Sesungguhnya ilmu itu penyuluh hatinya. Ilmu itu juga diharapkan akan dapat menjadikannya bijak mengurus segala urusan hidupnya. Jangankan dek keliru fikir jiwa langkah tersasar, alpa untuk mendekatkan diri pada Rabb, terlalai bahawa Dia-lah pemudah segala urusan. Moga segala cabaran hidup dan ujian itu dapat menjadi penguat semangat perjuanganmu wahai wanita. Jangan mudah untuk rebah dan berserah di atas segala mehnah di hadapannya.
Jangan digusarkan hati, andai dalam memahami erti dan makna, di celahan rimbunan kehidupan, tatkala mendambakan pelengkap kepada fitrah ciptaanmu. Pujuklah hatimu, andai belum sampai jodoh, yakinlah bahawa lelaki yang dinantikan itu sedang membina syakhsiah kepimpinannya bagi memimpin dirinya. Mungkin dirinya belum cukup syarat untuk bersama-samamu walaupun kau sedar bahawa dirimu ada kekurangan, dan lelaki yang benar-benar layak pasti akan hadir untuk melengkapkan segala kekurangan yang ada pada dirimu itu. Sesungguhnya lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita.
Percayalah bahawa muslimin yang bijaksana itu, tidak akan terpaut pada wanita hanya pada kecantikkan atau lirikan senyuman, pada bicara manja yang menggoda atau pada pujuk rayu seorang wanita yang boleh meruntuhkan imannya. Walaupun dikau punyai kekuatan untuk merundun jiwa para lelaki yang lemah imannya tapi takutlah engkau akan azab tuhan. Rafa’kanlah doa, moga tetap teguh hatimu mempertahankan tembok kesabaran dalam perjuangan menggapai cintamu. Moga cinta yang Maha Agung itu membawamu bertemu cinta insan.


0 comments:
Post a Comment