Friday, May 25, 2007

REMAJA BERKETERAMPILAN TINGGI DAN BERJIWA BESAR PELENGKAP TAMADUN AGUNG


Oleh : N. A. Nukmanuddin

Alam remaja adalah transisi dari alam kanak-kanak ke alam dewasa dalam satu kitaran metamorfosis manusia. Pada peringkat ini pelbagai perubahan akan diperlihatkan dan merupakan peringkat paling kritikal dalam kitar hidup manusia.

Remaja adalah kelompok yang memainkan peranan terbesar di dalam suatu kelompok masyarakat. Remaja yang bertaraf tinggi dan berjiwa besar ialah remaja yang mempunyai matlamat dan wawasan yang jelas dalam dirinya. Kebiasaannya mereka ini memperlihatkan ketangkasan dalam mengendalikan sesuatu perkara atau hal yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Mereka juga merupakan pelajar yang aktif, ringan tulang, bersikap positif, dan sentiasa bersedia dalam segala hal. Apabila mereka didatangkan dengan sesuatu masalah mereka tidak mudah menolak malah mereka bijak menterjemahkan setiap perkara yang didatangkan kepada mereka. Remaja yang sebegini tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti yang kurang sihat seperti gelaja penyalahgunaan dadah, budaya lepak, rempit, mencuri dan pergaulan yang tidak sihat yang mana boleh mengundang kepada kebejatan sosial. Mereka lebih mempunyai rasa tanggungjawab dan kesedaran inilah yang mendorong mereka mencukupkan diri mereka dengan ilmu yang bermanfaat.

Remaja yang kuat beribadat akan lebih dipandang mulia di sisi Allah malah masyarakat juga lebih mengagumi dan menghormati golongan remaja yang sentiasa mendekatkan diri dengan tuhannya. Mereka sentiasa beringat bahawa apabila matinya anak adam, perkara yang akan dipersoalkan ialah ke mana masa mudanya dihabiskan. Mereka ini biasanya remaja yang ikhlas dalam menuntut ilmu. Mereka mempunyai matlamat dan wawasan hidup yang jelas. Hala tuju mereka berpandu. Malahan niat mereka mencari ilmu ialah atas dorongan seruan al-quran yang menuntut supaya manusia berfikir dan meneliti segala isi alam yang diciptakan Allah. Kecintaan yang tinggi dalam menuntut ilmu atas dasar ibadah mendorong mereka ini menjadi bersemangat dan maju ke depan tanpa rasa ragu-ragu. Malah terus maju dan maju seolah-olah tidak ada halangan untuk menempatkan mereka menjadi seorang yang berjaya dan terbaik dalam setiap lapangan yang mereka ceburi. Mereka ini memperlihatkan seorang individu yang berpandangan jauh. Biasanya remaja yang sebegini memiliki akal fikiran yang sempurna yakni matang dalam menyampaikan sebarang hujah. Mereka lebih berhati-hati dan tidak mudah mengungkapkan sesuatu bersandarkan rasa hati dan nafsu. Apabila mereka melontar sesuatu idea, mereka sentiasa dilihat sebagai remaja yang bermaklumat dan berilmu.

Sejarah memperlihatkan banyak contoh remaja-remaja dan peribadi mereka yang berketerampilan tinggi serta berjiwa besar. Antaranya ialah Khulafa’ ar-Rashidin, Imam as-Syafie,dan ramai lagi tokoh-tokoh ilmuan Islam yang hidup pada era kegemilangan Islam. Sebagai mana mereka ini sangat ikhlas dalam setiap tindak tanduk dan amalan harian mereka. Mereka menyandarkan segala-galanya hanyalah pada Allah S.W.T. Seperti mana firman Allah dalam surah al-An’aam ayat 162, yang membawa erti, “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. Berbeza dengan remaja yang hidup dalam era moden hari ini. Kemajuan material tidak lagi selaras dengan kemajuan nilai etika dan moral. Kehidupan dan peribadi remaja yang hebat adalah titik permulaan yang akan menjadikan mereka hebat setelah mereka ini melepasi zaman remaja. Acuan yang seumpama inilah yang ingin kita bentuk kerana remaja yang teguh semangat juangnya akan membesar menjadi pemimpin yang hebat apabila mereka dewasa kelak.

Amatlah sukar untuk mencari remaja yang memiliki pesonaliti seperti remaja pada era kegemilangan tamadun Islam pada zaman ini. Kalau pun ada mungkin terlalu kecil bilangannya. Mungkin juga remaja hari ini sudah hilang keikhlasan hati mereka dalam menuntut ilmu. Banyak juga diperdendangkan kepada kita anak-anak muda atau remaja yang belajar di institusi pengajian tinggi terjebak dengan kes jenayah dan keruntuhan nilai moral. Perkara yang sebegini amatlah memalukan. Seolah-olah ilmu itu tidak mampu mendidik jiwa mereka untuk menjadi remaja yang benar-benar boleh memacu negara untuk membentuk tamadun yang hebat.

Kepada remaja di luar sana, bangkitlah kita dari lena yang panjang. Janganlah kita sekadar menjadi penonton kepada kejatuhan bangsa-bangsa yang mendokong Islam sebagai agama tetapi mereka kalah dalam pertaruhan mempertahankan kemurnian agama. Marilah persiapkan diri kita dengan kefahaman agama Islam yang benar. Janganlah kita cemarkan maruah agama dengan memperlihatkan perlakuan yang tidak sihat seperti mana yang didedahkan di dada-dada akhbar.


0 comments: