Sunday, November 25, 2007

Apa itu Jihad Fiisabilillah?

بسم الله الرحمن الرحيم


Rasulullah SAW bersabda: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus.” Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lemah dan musuh sangat kuat?” Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut.” Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?” Jawab Rasulullah, “Kerana ada dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan.” Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu Al Wahan?” Rasulullah bersabda, “Cinta dunia dan takut mati".


Sedarkah kalian, kitalah yang rasulullah maksudkan itu. Kitalah umat Islam yang tidak lagi ditakuti musuh-musuh Islam, segala hak kebebasan orang Islam dicabul dengan sewenang-senangnya. Malah jika dilihat hari ini, negara-negara Islam bertelagah sesama sendiri, berperang sesama sendiri dan sanggup bersekongkol dengan negara yang memusuhi Islam untuk menjatuhkan negara Islam yang lain. Umat Islam tidak lagi dikenali sebagai umat yang hebat kerana ilmunya, kerana teknologinya, kerana tinggi peradaban bangsanya, tetapi dikenali sebagai pengganas, miskin, jumud dan mundur mindanya.

Saya tak menafikan jika kita memperuntukkan nyawa kita untuk mati syahid dan berjuang fisabilillah mempertahankan hak kita seperti mana sabdanya Rasulullah; “Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan maruahnya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya adalah syahid.” (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi)

Dalam konteks kehidupan hari ini, apa guna jika kita berjihad menentang para kuffar dengan dengan harapan terbunuh dan mati syahid tanpa kita memperkasakan diri kita dengan ilmu yang bermanfaat, membangunkan teknologi-teknologi yang mendahulu zaman, memperelokkan sistem sosial, memperkemaskan sistem politik dan memperkukuhkan ekonomi kita atas dasar iman dan taqwa? Apa guna kita berjihad jika solat tidak terjaga, jika anak-anak dan isteri masih terdedah auratnya secara nyata, jika anak-anak tidak mengenal dan tahu membaca al-Quran, jika pendidikan anak-anak diabaikan, tidak kenal antara hukum halal dan haram, anak-anak terbiar tanpa ada pegangan hidup?

Mari kita renung kembali sirah perjalanan dakwah rasulullah sebelum datangnya seruan kepada jihad. Rasulullah bermula dengan mengtauhidkan isterinya, ahli keluarganya, dan seterusnya para sahabatnya. Dan apabila umat Islam ditentang, mereka tega mempertahankan akidah mereka walaupun diseksa dengan begitu kejam. Sumaiyah sebagai contoh, dialah penghulu segala wanita syuhada'. Dan Sumaiyah tergolong dalam golongan yang syahid kerana mempertahankan agamanya, maruahnya dan keluarganya.

Seperti mana sabdanya Rasulullah: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka menyatakan bahawa tiada tuhan selain Allah. Jika mereka menyatakan demikian maka terpeliharalah (olehku) darah dan harta mereka kecuali dengan hak akidah tersebut. (al-Hadits). Namun, adakah kita berperang hari ini kerana mahu menundukkan musuh supaya beriman kepada Allah? Apa yang didapati, umat Islam berperang bukan kerana mahu berdakwah dan menentang kemungkaran tetapi kerana ingin menjadi penguasa, kerana ingin membolot harta serta kekayaan sumber alam. Dan kita juga diperangi kerana kita miliki kekayaan sumber alam, tapi kita tidak tahu menggunakan sumber itu untuk kemudahan penghidupan beribadah kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya jihad yang paling agung adalah mengucapkan kalimat yang haq di hadapan penguasa yang zalim. (al-Hadits)

Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang kalian cintai dan mereka pun mencintai kalian. Mereka mengucapkan salam atas kalian, demikian pula dengan kalian. Sebaliknya, seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kalian benci dan mereka membenci kalian; kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian. Lalu ditanyakan kepada beliau,”Ya Rasulullah, tidakkah kita perangi saja mereka dengan pedang?" beliau menjawab, “Tidak, selama mereka menegakkan shalat (yakni hukum-hukum Islam). (al-Hadits).

Wallahua'alam...

0 comments: