Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillahirabbil 'alamin wassolatu wassalam wa 'ala asyrafil anbiyai wal mursalin..
Sorotan : Bagaimana Remaja yang Bakal Menjadi Tonggak Kepimpinan Negara Membentuk Syahsiah Diri Agar Dewasa Menjadi Pemimpin yang Berkarisma
Sorotan : Bagaimana Remaja yang Bakal Menjadi Tonggak Kepimpinan Negara Membentuk Syahsiah Diri Agar Dewasa Menjadi Pemimpin yang Berkarisma
Remaja yang kuat beribadat akan lebih dipandang mulia di sisi Allah malah masyarakat juga lebih mengagumi dan menghormati golongan remaja yang sentiasa mendekatkan diri dengan tuhannya. Mereka sentiasa beringat bahawa apabila matinya anak Adam, perkara yang akan dipersoalkan ialah ke mana masa mudanya dihabiskan. Mereka ini biasanya remaja yang ikhlas dalam menuntut ilmu. Mereka mempunyai matlamat dan wawasan hidup yang jelas. Hala tuju mereka berpandu. Malahan niat mereka mencari ilmu ialah atas dorongan seruan al-quran yang menuntut supaya manusia berfikir dan meneliti segala isi alam yang diciptakan Allah. Kecintaan yang tinggi dalam menuntut ilmu atas dasar ibadah mendorong mereka ini menjadi bersemangat dan maju ke depan tanpa rasa ragu-ragu. Malah terus maju dan maju seolah-olah tidak ada halangan untuk menempatkan mereka menjadi seorang yang berjaya dan terbaik dalam setiap lapangan yang mereka ceburi. Mereka ini memperlihatkan seorang individu yang berpandangan jauh. Biasanya remaja yang sebegini memiliki akal fikiran yang sempurna yakni matang dalam menyampaikan sebarang hujah. Mereka lebih berhati-hati dan tidak mudah mengungkapkan sesuatu bersandarkan rasa hati dan nafsu. Apabila mereka melontar sesuatu idea, mereka sentiasa dilihat sebagai remaja yang bermaklumat dan berilmu.
.
Sejarah memperlihatkan banyak contoh remaja-remaja dan peribadi mereka yang berketerampilan tinggi serta berjiwa besar. Antaranya ialah Khulafa’ ar-Rashidin, Imam as-Syafie, Muhammad al-Fateh dan ramai lagi tokoh-tokoh ilmuan Islam yang hidup pada era kegemilangan Islam. Sebagai mana mereka ini sangat ikhlas dalam setiap tindak tanduk dan amalan harian mereka. Mereka menyandarkan segala-galanya hanyalah pada Allah S.W.T. Seperti mana firman Allah dalam surah al-An’aam ayat 162, yang membawa erti, “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. Berbeza dengan remaja yang hidup dalam era moden hari ini. Kemajuan material tidak lagi selaras dengan kemajuan nilai etika dan moral.
.
Kehidupan dan peribadi remaja yang hebat adalah titik permulaan yang akan menjadikan mereka hebat setelah mereka ini melepasi zaman remaja. Acuan yang seumpama inilah yang ingin kita bentuk kerana remaja yang teguh semangat juangnya akan membesar menjadi pemimpin yang hebat apabila mereka dewasa kelak. Contoh yang terbaik ialah, remaja ini semenjak kecil telah diasuh untuk melalukan ibadah sunat seperti bertahajjut dan apabila mereka remaja, jiwa mereka sudah terdidik untuk tidak kekok melaksanakannya. Berbanding dengan remaja yang tidak mempunyai personaliti diri yang tinggi, mereka banyak menghabiskan masa mereka dengan tidur dan sukar untuk membiasakan diri bersolat subuh di awal waktu.
.
Renungkanlah di mana diri kita ketika usia kita masih kecil dan ketika kita remaja. Semua itu mampu membantu kita membimbing diri kita menjadi dewasa memberi guna kepada agama. bangsa dan negara. Jika kita sudah melewati zaman itu, berusahalah untuk memperbaiki kelemahan diri. Namun, kelebihan tetap berpihak kepada mereka yang terlebih dahulu berusaha membentuk syahsiah diri yang mantap, agar teguh iman mengunci diri, insyaAllah.
.
wallahu'alam..


0 comments:
Post a Comment