Thursday, December 13, 2007

Bismillahirrahmanirrahim...

Beberapa minggu lepas, saya dapat 'retrenchment letter' dari Head of Human Resources & Administration. Jika orang lain pasti resah bila dapat surat ni kan? Alhamdulillah, tidak pada saya. Beberapa minggu sebelum itu, saya dipanggil untuk pengumuman hal ini. Seperti biasa, saya 'cool' saja. Bila dikhabarkan tentang hal ini, saya tersenyum dan ketawa saja dan keadaan yang sama juga berlaku pada kali kedua sehinggakan Head of HR & Admin pun kata, "Saya tak pernah jumpa manusia seceria kamu. Kena retrench pun masih happy dan ceria."

Pada saya itu bukan kesudahan penghidupan, serahkan segalanya kepada Allah, insyaAllah dipermudahkan segala hal.

Sementelah itu, ditanyanya soalan kepada saya. Agak hairan dia memandang muka ceria saya, "Kamu ni dah berkahwin ke?"

Saya katakan, "Belum lagi".

"Kamu dah ada someone special?"

"Belum juga"

"Mustahil orang macam kamu tak ada 'someone special. Kamu ni mesti have a good taste. Entah macam mana kamu cari".

Sambil ketawa saya katakan padanya, "I just wanna secure my job first".

"Kamu carilah mana-mana anak Dato' ke anak Tan Sri ke. Nanti kamu kerja saja dengan mereka".

"I am not looking for that".

Bunyinya agak membosankan pendengaran saya, namun saya layan saja. Dalam hati sebenarnya, nak..... sangat-sangat berkahwin cepat. Namun apadaya, belum sampai masanya lagi.Semenjak bekerja di syarikat ini, memang inilah persoalan yang biasa diajukan oleh beberapa manager kepada saya. Asyik-asyik suruh saya cari anak Tan Sri lah, anak Dato' lah supaya tak perlu susah-susah bekerja. Di kalangan rakan-rakan saya juga begitu. Hakikatnya bukan itu yang saya cari. Saya cuma nantikan seseorang yang saya redho dengan agamanya, akhlaqnya juga kepimpinan. Harta kekayaan, rupa paras, bukanlah keutamaan bagi saya. Saya senang dengan apa yang Allah kurniakan kepada saya dan saya amat bersyukur kerana Allah cukupkan rezeki untuk saya.

Andai ditaqdirkan seseorang yang tiada berharta untuk saya pun, tak mengapa. Asalkan dia punyai ilmu yang cukup luas dan boleh mengajarkan saya sudah cukup baik. Malah jika dia boleh ajarkan saya tentang ilmu fekah, tauhid, tasawwuf, al-Quran juga hadith dengan baik dan setanding dengan cedekiawan agama yang sedia ada saya sedia menerimanya. Lagi bagus jika boleh ajar saya taranum. Teringin sangat saya nak baca Quran dengan baik beserta dengan taranum dan hafaz beberapa surah lazim (macam surah Yaasin, al-Mulk). Saya tahu semua ni saya boleh usahakan walaupun sendirian dan ilmu yang sedia ada pun masih lagi sedikit. Jika ada yang sedia mengajarkan saya semua ini dengan percuma, saya tak kisah untuk meminta mahar sekadar sebentuk cincin bertatah sebutir permata. Tak minta apa-apa pemberian pun tak boleh juga, sebab saya juga inginkan sesuatu sebagai bukti penerimaan saya kepadanya. Sekiranya itu saja yang saya minta darinya dan itu saja kemampuannya untuk satu ikatan suci dari satu akad yang sah. Saya cuma mahukan dia menjadi seorang guru yang terbaik untuk saya dan disebabkan itulah saya kepingin sangat seseorang yang saya redho akan agamanya, akhlaqnya juga kepimpinannya. Bunyi agak keras, namun pada saya itu adalah keadilan bagi pihak saya.
Kenapa saya meletakkan syarat sebegitu. Satu daripadanya ialah, dahulu ketika saya remaja, saya tidak berpeluang mendalami bidang agama dengan sebaiknya. Maklum sajalah, masuk sekolah Sains, banyak mana sangat pengajian agama. Di Universiti pun begitu jua, dek kerana mahu cepat bergraduasi saya tak berkesempatan untuk mengikuti beberapa kelas pengajian pilihan selain daripada apa yang disyaratkan untuk saya bergraduasi.

Soal termination of service tu dah selesai masalahnya, alhamdulillah. Saya berlapang dada dengan segalanya. Malah semenjak saya tahu bahawa hala tuju syarikat agak goyang, saya tetap juga setia menunggu keputusan dari pihak pengurusan tentang status kerja saya. Saya tak kisah, jika Allah belum izinkan saya untuk menyertai public listed company pasti ada sesuatu yang lebih baik untuk saya. Memandangkan pengajian saya belum habis lagi, maka lebih baik saya bersabar dulu. Lagi pun dahulu saya pernah rancangkan sesuatu, hanya kerana kecewa saya mengalih haluan dan memilih untuk bekerja di sini. Dengan kuasa Allah, ditaqdirkan saya tidak lama di sini untuk membina kerjaya. Setahun cuma. Namun tak mengapa pada saya, beberapa minit sebelum saya dipanggil masuk ke bilik Head of HR & Admin beberapa minggu lepas, saya mendapat satu panggilan yang misteri. Rupa-rupanya saya dipanggil untuk menghadiri satu sesi temuduga. Alhamdulillah. Beberapa jam selepas tamatnya sesi temuduga pada minggu yang berikutnya, saya mendapat panggilan bahawa saya diterima bekerja di situ. Maha suci Allah, saya begitu bersyukur dan terharu dengan apa yang Allah datangkan kepada saya. Nampaknya Allah lebih mengetahui apa yang baik untuk saya. Saya rasakan bahawa ini adalah petunjuk dari-Nya, bahawa saya tak boleh kecewa dan kalah dalam mengejar cita-cita yang pernah saya hasratkan untuk kuburkan saja impian itu. Saya pun tak menyangka rezeki datang tanpa diduga. Betapa saya rasakan kehebatan Allah. Saya tak tahu apa lagi yang boleh saya balas melainkan sujud syukur mengadap Ilahi. Ya Allah, betapa besar kasih sayangnya kepada saya.



Ya Allah, tetaplah hamba-Mu ini menjadi hamba yang bersyukur kepadaMu. Andai Engkau minta sesuatu daripadaku, tiada apa yang boleh diberikan. Diri ini adalah milik-Mu, dan segala-galanya adalah milik-Mu. Hanya satu RUH. Itulah ................... Ya Allah, izinkanlah ruhku kembali menemui-Mu dalam keadaan yang baik.

0 comments: