BismiLLAHirrahmanirrahim...
Semenjak saya kecil, saya terlalu ingin menjadi seorang berjaya di dunia jua di akhirat (dalam doa, biasa dilafazkan, Rabbana aatina fiddunya hasanah, wa fil akhiroti hasanah, waqina adzab annar). Pada saya, untuk menjadi seorang yang cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat, tidak cukup dengan hanya kita belajar agama untuk mengetahui hukum itu halal dan ini haram, berfatwa dan sekadar berhukum tetapi lebih kepada perlaksanaan dalam kehidupan seharian kita atau berceramah sana sini mengatakan ini tak boleh ini boleh. Aspek agama seharusnya dilestarikan dalam segenap aspek penghidupan manusia, baik dari segi ekonomi, sosial, teknologi mahupun politik. Menyentuh soal perlaksanaan, saya bukanlah seorang yang boleh dijadikan contoh terbaik.
Saya masih ingat ketika saya di alam persekolahan, hasrat hati ibu saya, beliau menginginkan anaknya yang seorang ini mengikut jejaknya menjadi seorang cikgu @ ustazah. Bunyinya memang agak pelik jika dinisbahkan dengan corak kehidupan saya hari ini. Segala haluannya tersasar apabila saya mendapat keputusan yang baik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Alhamdulillah. Berbekalkan dengan keputusan 9A saya memilih aliran sains. Inilah kebiasaan yang berlaku kepada pelajar cemerlang keluaran sekolah agama; memilih aliran sains. Jarang sekali yang mendapat keputusan semua A melanjutkan pengajian dalam aliran agama. Jika ada pun, setelah masuk ke Universiti tak kurang juga yang menjurus dalam bidang selain daripada bidang agama.
Alasannya kenapa memilih aliran sains dan bukan aliran agama?
Senario yang saya lihat pada masa itu ialah,
i) kurangnya mereka yang berkecimpung dalam bidang sains dan bidang professional seperti doktor, jurutera, ahli peniagaan, saintis dan sebagainya memiliki latar belakang pendidikan agama.
ii) saya kira mudah untuk mencari lulusan agama yang mempunyai pengetahuan agama yang cukup baik.
iii) perlu ada penyatuan antara ilmu dan pengetahuan agama dengan bidang sains umpamanya.
Saya tidak menolak kepentingan ilmu sains, ekonomi, senibina dan sebagainya dalam kehidupan manusia. Malah antara penyebab yang membuka minat saya kepada sains ialah al-Quran itu sendiri. Pada awal usia belasan tahun saya cuba menyingkap tafsir al-Quran. Menarik pada saya ialah, pada ketika itu saya dapati begitu banyak dalil naQli yang bersangkut dengan bidang biologi terutamanya genetik dan aeroangkasa serta astronomi. Hendak saya senaraikan memang banyak.
Salah satunya saya tertarik tentang ilmu yang berkaitan dengan aeroangkasa apabila membaca kisah isra' mikraj dalam tafsir al-Quran, tentang pengembaraan nabi Muhammad yang cuma mengambil masa satu malam dengan menaiki bura'. Terlintas di ufuk fikiran saya bagaimana pantasnya kenderaan itu sehingga mengalahkan kelajuan cahaya. Hebatnya kuasa Allah bukan? Begitu juga halnya tentang bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk arah kepada pelayar di laut. Tidak kurang juga tentang ilmu trigonometri yang membantu manusia mengukur jarak dari satu tempat ke satu tempat berdasarkan kedudukan bintang di langit dan kedudukan manusia di bumi yang dikaji oleh ilmuan Islam terdahulu. Juga halnya tentang teori relativiti yang bersangkut dengan peristiwa isra' miktaj ini. Pernah juga sekali, semasa saya berusia 14 tahun, saya menguji ustazah yang mengajar saya subjek Pendidikan Islam.
"Ustazah, macam mana kita nak bersolat jika kita berada dalam kapal angkasa menuju ke bulan. Bila kita keluar daripada daya tarikan graviti bumi kita atas terawang-awang dalam kapal angkasa tu. Dah tu macam mana pula kalau astronaut tu perempuan, macam mana dia nak bersolat?"
Ustazah cuma menjawab yang bunyinya lebih kurang begini, "Kamu ni dah tak ada soalan lain ke nak tanya. Tak usah la ke bulan. Hendak buat apa?"
"Ye lah ustazah, mana boleh dibiarkan orang bukan Islam saja yang mendominasi bidang sains ni, orang Islam pun kena juga ke bulan. Buat kajian di sana."
Soalan saya berakhir tanpa jawapan. Sebenarnya saya ada jawapan saya sendiri, sengaja bertanya sekadar ingin menguji ustazah muda yang baru saja memulakan pengajarannya di sekolah saya. Nakal saya ni, suka mengajukan soalan menguji minda kepada cikgu-cikgu di sekolah.
Hari ini mungkin ada di antara kita yang merasakan tidak perlu ke bulan. Esok-esok mana kita tahu, untuk menyelesaikan masalah ummah, menjadi kewajipan pula untuk kita ke sana. Jadi, aspek solat jangan sesekali diabaikan. Alhamdulillah, apabila Malaysia menghantar cosmonaut yang pertama, JAKIM mengeluarkan panduan bersolat di angkasa. Nah! setelah 10 tahun berlalu, akhirnya soalan saya berjawab juga. Pada saya, hendak berkelana ke mana saja di kita di dunia milik Allah ini (yang ada kehidupan) bukanlah suatu halangan untuk meminggirkan solat. Cuma hadapkanlah muka ke baitullah atau jika tak tahu di mana arah kita hadapkanlah ke mana saja kerana Allah itu penguasa segenap ruang. Segala nas yang sohih terang lagi nyata dah ada dalam al-Quran. Apa lagi sandaran terbaik kita? Apalagi rujukan terbaik kita? Apalagi panduan terbaik kita? Selain al-Quran??
Saya yakin, jika kita benar-benar memahami agama (Islam) dengan sebaiknya, kitalah (orang Islam) manusia yang terbaik yang wujud di dunia ini dan memakmurkan dunia dengan sebaiknya. Sebenarnya, penghayatan Islam yang benar, mampu memacu jalan kepada kita untuk menjadi manusia terbaik. Islam bukan agama jumud, aspek ibadah bukan mengekang atau penghalang kita daripada memajukan diri dan menjadi umat terhebat. Bukalah mata, bukalah minda. Cabaran zaman ini bukan menentang para kuffar dengan senjata tetapi menguatkan benteng pertahanan diri kita, yakni iman dan taQwa.
Semoga kita semua sedar, apabila umat Islam bersatu dan membentuk jemaah yang utuh, bersatu tenaga berganding bahu, berpegang teguh pada 'tali' Allah. Saya percaya kita mampu bangkit semula dan digeruni oleh para kuffar. Kita hari ini diperangi kerana kita lemah, kerana kita kurang ilmu. Kita bukan sibuk untuk memajukan diri, tetapi kita sibuk melihat kelemahan orang lain, kita sibuk mengecam sesama muslim, mudah-mudah menuduh si polan kafir dan bermacam-macam lagi walaupun si polan masih melafazkan kalimah tauhid. Pada saya, selagi mana seseorang itu meyakini kalimah tauhid, peganglah dia agar bersama-sama dalam jemaah, bukan mengecam dan meminggirkan.
Wallahu'alam. Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan segala yang khilaf itu adalah dari kelemahan saya sendiri.

0 comments:
Post a Comment