Memetik satu penulisan..
.
Kita tidak menafikan pendidikan awal bermula dari rumah. Namun, sogokan pelbagai unsur negatif lain yang mempengaruhi jiwa anak masa kini, masjid adalah institusi yang boleh bertindak sebagai benteng mengekang anasir buruk daripada terus merebak dan berkembang dalam diri mereka.
.
Contoh mudah, kita perlu mendidik anak bahawa solat seorang diri di rumah, nilai pahalanya sedikit berbanding solat berjemaah di masjid. Setiap anak yang dibiasakan dengan solat berjemaah di masjid akan mendisiplinkan dirinya sama ada ketika beribadat atau berhadapan orang ramai. Hikmah itu tidak dapat disingkap jika anak tiada pendedahan dibiasakan dengan persekitaran masjid. Menjinakkan anak dengan masjid akan memperkukuhkan jati diri menghadapi pancaroba yang memasuki era kedewasaan.
.
Kita juga wajib mendidik anak dengan adab yang digariskan Islam sebelum mereka menjejakkan kaki di institusi masjid antaranya mesti dalam keadaan bersih, memakai wangi-wangian, tidak bercakap perkara sia-sia, hendaklah niat beriktikaf ketika di dalamnya, tidak mengganggu orang lain dan menutup aurat. Adab itu memberi kesan secara langsung terhadap pembentukan disiplin mereka. Sebagai ibu bapa, kita diwajibkan mendidik anak supaya tidak meninggalkan solat kerana ia membutakan mata hati mereka.
.
Oleh itu, kita perlu bermuhasabah, kenapa anak bersikap degil dan sering menderhaka. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai." - (Surah al-'Araf, ayat 179) Sempena cuti persekolahan, ia adalah medan terbaik menyemai kasih sayang bersama keluarga di rumah seterusnya menjelmakan persekitaran baik dalam hidup dengan mengajak anak dan seluruh ahli keluarga ke masjid untuk mengimarahkan turunnya rahmat daripada Allah.
.
Penulis ialah imam Masjid Jamek Al-Khadijiah Pantai Dalam, Kuala Lumpur

0 comments:
Post a Comment