BismiLLAHirrahmanirrahim...
Sebagai manusia, qada' dan qadar diri kita sudah ditentukan Ilahi. Siapa ibu kita, siapa bapa kita, tiada daya untuk kita memilih. Terimalah segalanya dengan hati terbuka, redho dengan segalanya. Jika kita mendapati bahawa didikan ibu bapa kita terhadap kita belum cukup baik, maka berusahalah kita untuk memperbaiki diri kita supaya anak-anak kita menjadi lebih baik daripada kita setelah kita tahu di mana kelemahan diri kita. Jika kita merasakan bahawa kita tidak mampu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akedemik kerana ketidakcukupan input yang masuk dalam minda kita lantas diterjemahkan dalam pelbagai bentuk, baik percakapan, menjawab soalan peperiksaan dan sebagainya. Maka berusahalah dengan sebaiknya. Jika kita seronok melihat anak-anak kecil sudah petah bercakap, sudah khatam al-Quran malah sudah mula menghafaz beberapa ayat al-Quran, mudah menerima pelajaran di sekolah maka berusahalah mendidik mereka dengan sebaiknya.
Adakala kanak-kanak menjadi bantah tidak mahu diajar bukan kerana tidak punyai keupayaan dan keinginan untuk menjadi terbaik, tetapi boleh jadi mereka marah dengan ibu bapa mereka yang tidak bersungguh-sungguh mahu mendidik mereka. Maka seeloknya kita renungkan kembali diri kita kenapa anak-anak kita bantah dan tidak mahu mendengar kata-kata kita. Pertama sekali adalah kita menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak kita. yang keduanya jika kita sebagai ibu adakah kita menjalankan tanggungjawab yang baik terhadap anak-anak kita yakni dengan memilih seorang ayah yang baik kepada mereka dan kemudian nilailah diri kita adakah kita ini sebaik-baik isteri yang taat kepada suami? Jika kita lakukan yang terbaik hanya mahu mengharapkan redho Allah, saya yakin Allah pasti akan menyediakan yang terbaik untuk kita.
Jika anak-anak kita nakal dan berkelakuan liar, renungkanlah kembali daripada mana sumber rezeki yang kita nafkahkan untuk memberi makan kepada mereka. Jika anak-anak kita nakal dan liar adakah selama ini kita ikhlas mendidik mereka dengan baik? Adakah kita menjaga kerukunan rumahtangga kita dengan baik? Adakah kita menjaga solat kita dengan baik? Renung-renungkanlah. Jangan kita salahkan pihak sekolah kerana tidak mampu menjadikan anak-anak kita berakhlak baik dan berperibadi luhur sedang kita terlebih dahulu tidak menjaganya. Jangan semata-mata menyalahkan pihak itu dan pihak ini atau sesiapa saja kerana menjadikan anak-anak kita jahat tetapi renungkanlah kembali tentang diri kita, adakah kita ini terlalu menjaga hubungan kita dengan Allah dengan sebaik-baiknya.
Jika anak-anak kita gagal didik dengan baik. Renungkanlah diri kita. Namun soal iman, benar. Seorang ayah yang beriman tak mampu mewarisi imannya kepada anak-anaknya. Namun saya yakin, Allah pasti menjaga hambanya yang sentiasa menjaga hubungan baik dengan-Nya. Jika seorang ayah yang beriman tak mampu melahirkan anak-anak yang beriman, renungkanlah kembali siapa isteri yang dipilihnya, adakah dia memilih isterinya dahulu atas dasar agama juga? Sebaik-baik tempat untuk melahirkan anak-anak yang baik ialah, carilah sebaik-baik tempat untuk menempatkan janin anak-anak anda sebelum mereka lahir ke dunia ini.
WaLLAHu'alam...

0 comments:
Post a Comment