Tuesday, May 27, 2008

Ketika membaca tafsir surah Maryam, hati saya menjadi sebak dan sayu. Selama ini saya hanya mengetahui tentang kelebihan surah Maryam iaitu baik dibaca sebagai amalan ketika mengadungkan janin. Wallahu’alam. Namun tidak pernah maknanya begitu menyentuh hati saya, sehinggalah beberapa bulan yang lepas. Pada suatu pagi, hati saya terdetik untuk melihat tafsirnya, sehinggalah ia memberikan satu rasa yang membuatkan hati saya begitu sebak.

Kali ini, bukan kisah lambatnya Nabi Zakaria memperoleh anak yang menyentuh jiwa saya, tetapi dalam doanya, cukup indah apabila Allah firmankan dalam surah Maryam ini,

”…… dan Aku - Wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa Dengan doa permohonanku kepadamu. dan Sesungguhnya Aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan Jadikanlah Dia - Wahai Tuhanku seorang Yang diredhai serta disukai".

Ya Allah, hebatnya doa seorang ayah untuk anaknya. Padahal anak itu belum pun lagi dilahirkan. Namun, berkat kesabaran dalam titipan doa serta solat yang tak pernah menyusut, akhirnya, Allah kurniakan pada Nabi Zakaria seorang zuriat yang juga seorang rasul. Hebatnya kekentalan jiwa para kekasih Allah. Kisah Nabi Zakaria, sedia maklum, Nabi Zakaria ini lambat dikurniakan anak. Sehingga di penghujung usia, barulah Allah kurniakannya anak. Beliau juga mempunyai anak saudara perempuan yang bernama Maryam, iaitu ibu kepada Nabi Isa. Saat berdetiknya hati untuk Nabi Zakaria memohon doa seperti itu adalah apabila setiap kali Nabi Zakaria masuk ke dalam mihrab untuk menemui Maryam, didapatinya buah-buahan di sisi Maryam adalah yang di luar musimnya. Wallahu’alam. Pada saya, inilah hebatnya kisah para wali Allah, nak dikatakan rezeki datang dari langit, agaknya macam ni lah kisahnya. Malah tidak menjadi suatu yang mustahil berlaku pada zaman ini. Sebagai mana contoh, seorang yang akrab dengan Allah, tika mana dia lapar, tidak semena-mena datang seekor burung dari ruang tingkap rumahnya, menyerah diri padanya untuk dijadikan santapan pada hari itu. Inilah ‘rezeki dari langit’.


* * * * * * * * * *

.

Dalam Surah Ibrahim, yang lainnya pula, Allah perihalkan doa Nabi Ibrahim untuk menjamin kemaslahatan serta kesinambungan zuriat yang membawa maksud;

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa Yang Kami sembunyikan dan apa Yang Kami zahirkan; dan tiada sesuat upun di langit dan di bumi, Yang tersembunyi kepada Allah! (38)
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang Yang mendirikan sembahyang dan Demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.(40)


Dan seterusnya doa ini;

"Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang Yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"

________________________
Dalam surah an-Naml, Allah firmankan yang membawa erti,

".................'Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh. "
.
Amiiinn Ya Rabb…

0 comments: