Beliau dilahirkan pada tahun 21 H. Bapanya ialah Yasar, bekas hamba kepada Zaid bin Thabit, sahabat nabi s.a.w. yang terkenal. Ibunya pula ialah Khairah, bekas hamba kepada Ummu Salamah, isteri nabi s.a.w. Beliau juga banyak bertemu dan berguru daripada para sahabat baginda s.a.w.[1]
Sebagai pembimbing ummah, beliau turut mengikuti perkembangan semasa dan corak perubahan yang sedang dilalui oleh masyarakat Islam, khususnya zaman beliau adalah zaman kekayaan dan kemewahan Bani Umayyah. Beliau amat sedar tentang penyakit, kekurangan dan penyelewengan yang meresap masuk ke dalam masyarakat serta cara-cara untuk memulihkannya.[2]
Zaman beliau memperlihatkan berleluasanya penyakit nifaq. Kejayaan tentera Islam menguasai jajahan-jajahan yang luas melahirkan satu lapisan masyarakat yang memeluk Islam kerana keuntungan duniawi tetapi gagal mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka. Mereka juga kekurangan didikan Islam serta mewarisi banyak tradisi Jahiliyyah terdahulu. Golongan atasan dan pemerintah pula beransur-ansur mengikut cara hidup Jahiliyyah. Kemewahan dan keseronokan hidup, hasad dengki serta keinginan yang kuat terhadap harta dan kuasa telah menawan jiwa masyarakat.[3]
Dari sudut yang lain, beliau terpaksa membendung gejala bidaah dengan melibatkan diri secara aktif menolak pendapat-pendapat mereka yang mengelirukan. Melalui majlis-majlis ilmu dan pengajian, beliau banyak membincangkan persoalan akidah tauhid. Risalah-risalah turut disebarkan oleh beliau. Bahkan, pihak pemerintah turut sama menerimanya. Tindakan beliau ini menunjukkan bahawa persoalan ini bukan sahaja mesti ditangani oleh diri individu, tetapi juga semua pihak termasuk pemerintah.[4]
.
_________________
_________________
[1] al-Nadawi, Rijal al-fikr wa al-dacwah fi al-Islam, juz’ 1, hlm. 56.
[2] Al-Nadawi, Pendukung panji-panji Islam sepanjang zaman (terj.), hlm. 68.
[3] ibid., hlm. 68.
[4] Mohd Sulaiman Yasin, Ahlis-sunnah wal-jama’ah, hlm. 137.
[2] Al-Nadawi, Pendukung panji-panji Islam sepanjang zaman (terj.), hlm. 68.
[3] ibid., hlm. 68.
[4] Mohd Sulaiman Yasin, Ahlis-sunnah wal-jama’ah, hlm. 137.

0 comments:
Post a Comment