Saturday, December 15, 2007

Kualiti Umat Islam

BismiLLAH..

Tertari dengan kata-kata dari Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas, saya kepilkan di sini. "Agama Islam bukanlah agama untuk kalangan yang bebal dari segi akal dan fikiran; Islam juga bukanlah agama pelayan kepada permainan siasah atau cogan kata basi perniagaan dan ekonomi. Sesungguhnya penderitaan yang dialami oleh negara-negara kaum Muslimin pada hari ini – sama ada dari segi siasah, ekonomi mahupun pemikiran – adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh para penganut agama itu sendiri dan bukan disebabkan oleh agama Islam itu sendiri."

Dalam kehidupan seharin, kadang-kadang kita tidak lari daripada dipertontonkan oleh golongan manusia yang sengaja mahu menunjukkan dirinya hebat dan dirinya baik dengan sewenang-wenangnya menggunakan nama Islam walhal mereka sebenarnya menjatuhkan nilai agama tanpa mereka sendiri sedar. Malah ada juga yang tidak segan silu menjual nama agama demi kepentingan peribadi. Senario seperti inilah yang menakutkan jika terus berleluasan dalam masyarakat. Seterusnya membunuh nilai Islam itu sendiri. Sebagai contohnya, mereka sibuk-sibuk hendak menjadi hero dalam agama, lantas mereka mencetuskan idea-idea yang kononnya Islamik seperti bangunan berimej Islam. Semenjak saya membuat pembacaan dalam bidang kajian saya, terfikir juga saya, apakah itu Islamik? Sedangkan jika kita lihat pada binaan KLCC Twin Tower, siapa perekanya? Arkiteknya bukan seorang yang beragama Islam, namun mengapa beliau mampu menghasilkan reka bentuk yang bercirikan Islam. Persoalannya, di manakah arkitek-arkitek Islam yang hebat dalam menghasilkan seni reka bangunan? Begitu juga dengan bangunan pejabat yang berkecekapan tenaga di Malaysia ini. Seperti yang ramai orang tahu dan banyak juga anugerah di peringkat antarabangsa, Menara Mesiniaga; siapa arkitek yang merekabentuk bangunan ini? Ken Yeang. Seorang berbangsa Cina yang bukan muslim, sedangkan kita semua sebagai muslim ramai yang tahu bahawa saranan berjimat cermat itu dituntut agama. Persoalannya, mengapa bangunan yang direkabentuk oleh arkitek muslim tidak begitu menekankan aspek ini? Hendak saya persoalkan, ini bukan bidang kuasa saya dan boleh jadi saya juga tidak ada kelayakan untuk gapai ke tahap itu. Lagi pun saya bukan dilatih dan mendidik diri saya sedari kecil untuk menjadi seorang arkitek. Kemampuan saya ketika ini hanyalah sekadar mencari suatu formula atau garis panduan, bagaimana menghasilkan suatu reka bentuk yang benar-benar menjimatkan serta apakah aspek yang perlu ditekankan.

Pada saya mungkin mudah untuk mengatakan bahawa, didiklah diri supaya menjadi arkitek yang bertaQwa. Saya yakin arkitek ini mampu menghasilkan reka bentuk yang Islamik. Walau bagaimanapun, kita perlu juga ada satu standart yang akhirnya boleh membawa manusia berfikir bahawa sebaik-baik penyelesaian kepada masalah manusia ialah menyandarkan segalanya kepada Allah. Jika merekabentuk sesuatu binaan, utamakan aspek beribadah di dalamnya. Contoh yang lain ialah, penyusunan perabot di dalam bilik tidur seperti katil dan kedudukan tandas serta perkaitannya dengan arah kiblat. Kadang kala kita terlepas pandang aspek sebegini, sedangkan hal yang kecil ini membawa kesan yang besar.

0 comments: